بسم الله الرحمن الرحيم


بسم الله الرحمن الرحيم
"DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG"

Monday, 30 December 2013

:: wanita::



1. Isteri – wanita pada zaman Islam memainkan peranan utama sebagai seorang isteri. Isteri memainkan peranan sebagai penyejuk mata suami akan timbul suasana rumah itu sakinah (ketenangan). Lihat sahaja peranan Khadijah isteri Nabi :saw.
a. meredakan kesusahan Nabi :saw semasa baginda buat pertama kalinya menerima wahyu. Sikap beliau yang sungguh positif dalam menghadapi keadaan psikologi Nabi :saw dalam keadaan begitu.
b. menemukan Nabi :saw dengan pamannya, Waraqah bin Naufal yang menjelaskan cirri kenabianya. Dengan kata lain, memandu seorang suami dalam mendapat kebenaran.
c. Walaupun Waraqah sudah menyatakan bahawa Nabi :saw akan ditentang oleh kaumnya, akan tetapi Khadijah tetap berada dibelakang suaminya.
Ummu Salamah sebagai isteri Nabi :saw, sanggup meninggalkanperkara yang wanita sukain itu berhias, sebagai ketaatannya kepada suami.

2. Ibu – kesibukan para sahabat mencari nafkah dengan berniaga dan sebagainya, menjadikan tanggungjawab ibu itu lebih tertumpu kepada nak-ehwal anak-anak mereka. Merekalah yang menyediakan makanan, pakaian dan keselesaan bersama. Disana kita dapat lihat Allah swt mendahulukan ibu dari bapa kepada anak-anak ini.

3. Jihad – barisan hadapan. Pada zaman Nabi :saw, antara wanita yang hebat berjuang di medan pertempuran adalah Nusaibah binti Kaab. Beliau menghayunkan pedang semasa peperangan Uhud melindungi Nabi :saw. Sewaktu peperangan Uhud, Rasulullah saw melihat seorang wanita mengayun-ayunkan pedangnya dengan gagah perkasa melindungi baginda saw. Beliau digelar Ummu Umarah iaitu pahlawan wanita yang mempertaruhkan nyawa kerana Islam. Seorang lagi tokoh wanita yang berani adalah Khaulah binti Azwar. Beliau dikenali sebagai pahlawan Berkuda Hitam
Asma bt Abu Bakar semasa Nabi :saw dan Abu Bakar menyorok di Gua Tsur telah bersabung nyawa menghantar makan kepadamereka berdua.

Kaum wanita juga menjadi penyambut Nabi :saw ketika hijrah ke Madinah dan pulang dari medan perang. Kaum wanita akan mengambil bahagian didalam menyambung kepulangan mujahidin dari peperangan.

4. Perubatan & Hospital – Hospital pertama yang dibina pada zaman Nabi :saw adalah Khemah Rufaidah al-Aslamiyah oleh seorang wanita yang bernama Rufaidah binti Ka’ab al-Aslamiyah. Berbekalkan ilmu perubatan, beliau telah merelakan dirinya menjai tabib disitu.
Pembantu Nabi :saw, Laila al-Ghaffariyah terut membantu tentera Islam yang cedera.

Ummu Atiyyah pernah diajar oleh Nabi :saw mengkhatan kanak-kanak perempuan telah menaburkan baktinya. Beliau juga terlibat dalam urusan jenazah wanita.
Ummu Sinaan pada masa Nabi ke Khaibar, menawarkan perkhidmatan menguruskan makanan dan merawat mereka yang cedera.

4. Guru - A’isyah ra. semasa Nabi :saw masih hidup, menjadi pembantu Nabi :saw dalam mengajar sesuatu huukum kepaa kaum wanita. Tanpa beliau, tidak mungkin fiqh wanita dapat diketahui secara terperinci terutamanay persoalan haid, nifas, mandi janabah, dan sebagainya.steri.
5. Ekonomi – wanita juga memainkan peranan didalam bidang ekonomi. Pada zaman Nabi :saw, wanita Islam memintal benang dan bulu bagi menghasilkan pakaian, termasuklah Ummu Salamah dan Ummu Ammarah. Selain dari itu mereka menganyam dan menyertu (tanning) kulit binatang.


a. Pendakwah - Saudah bt Zam’ah setelah memeluk Islam telah berdakwah kepada keluarga, dan akhirnya suaminya memeluk agama Islam.


b. Perawi hadith – Bagi Ahli Sunnah wal Jamaa’ah, A’isyah ra. merupakan perawi terpenting didalam rantaian hadith Nabi :saw. Memiliki hafalan yang bagus, beliau mampu meriwayatkan lebih dari 2,000 potong hadith. Asma’ ra. juga meriwayat 56 potong hadith.

c. Hafizah al-Quran – Urwah ibn al-Zubair mengatakan bahawa A’isyah aalah wanita yang paling alim didalam ilmu al-Quran, Fiqh, Syair dan Hadith.

d. Ahli Fiqh – Ahli Fiqh terunggul kaum wanita adalah A’isyah ra. Nabi :saw bersabda : "Ambillah separuh daripada agama kamu daripada wanita yang putih kemerah-merahan ini (A’isyah)". Beliau digelar Pintu Wanita – Bab al-Nisa’. Beliau merupakan pakar rujuk bagi permasalahan wanita.

7. Sosial & Munakahat – Terdapat kaum wanita pada ketika itu menyerikan majlis perkahwinan. Begitu juga tercatat beberapa kanak-kanak perempuan memukul rebanan dan menyanyikan lagu semangat mengenai kelebihan kaum Ansar semasa perang Badar. Ada dikalangan wanita yang bertindak sebagai Mak Andam, seperti Rumaisa’ bt Malhan sebagai penghias Safiyyah bt Huyayy.
Ini adalah diantara beberapa peranan wanita pada zaman Nabi:saw. Mereka aktif dan menjadi tulang belakang orang pemerintah Islam yang diterajui oleh Nabi Muhammad :saw.

Saturday, 21 December 2013

~PERKONGSIAN SIMPLE~



..TORIQAT SUFIYYAH..

Toriqat Sufiyyah adalah Ilmu mengerjakan Zikrullah, Muraqabah (tafakkur/merenung) dan Mushadah (syuhud/menyaksikan) sehingga seseorang menjadi hamba Allah yang benar dalam Tauhidnya serta menjadi Ubudiyyah dengan sebenar Ubudiyyah

ii) Toriqat Sufiyyah menerangkan cara2 seseorang menjalani jalan Ketuhanan sehingga menjadi hamba Allah yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh Allah”.

iii) Toriqat Sufiyyah adalah Ilmu melatih jiwa seseorang hamba Allah sehingga ianya bercahaya dengan cahaya Rabbaniyyah. Dengan demikian membebaskan dirinya daripada sifat2 mazmumah (sifat2 kekejian) kemudian menghiasinya dengan segala sifat Mahmudah(sifat2 kepujian) serta menyucikan hatinya dari segala macam syirik khafi (syirik yang tersembunyi)”.

iv) Toriqat Sufiyyah adalah satu disiplin Ilmu KerOhanian yang tersusun yang terdiri dari berbagai latihan keruhanian berdasarkan kitabullah dan Sunnah RasulNya. Dengan bersungguh-sungguh menjalani latihan ini seseorang hamba dibukakan oleh Allah Ta’ala (dengan RahmatNya) kepada hakikat Islam, Iman dan Ihsan.



Thursday, 19 December 2013

~BIAR DIAM BERBICARA~

Tuhan.
Biar saja aku diam.
Tiada kata lagi mahu bicara.
Tiada lagu lagi mahu di karang.
Tiada lirik lagi mahu di tulis.
Hati yang semakin layu.
Hanya bersisa sendu lama.
Aku melihat kisah semalam.
Yang kembali melingkar.
Dalam cerita yang beda..
Namun rasa yang masih sama.
Pilu.
Pejam mata dan tidur.
Mahu gurindam dalam lagu warna jingga.
Biar hilang segala luka.
Biar lenyap segala kecewa.
Biar hanya diam yang berbicara.
Dalam bahasa sepi dan bisu.
Walau luka torehan makin dalam.
Langkah demi langkah ku gagahkan.
Berat.
Tapi hanya itu yang mampu mewarna dalam pelangi bahagia.
Dalam senyuman yang tiada paksa.
Masih dalam diam yang berbicara.

~AKU BINGUNG~

Entah apa yang bersarang di hati kini.
Benak yang berdetik dalam nafas yang deras tidak menentu.
Berat untuk aku mengukap rasa.
Lelah untuk aku menahan sesak di dada.
Entah apa yang berbicara di ruang jiwa.
Entah bagaimana untuk meluah tatkala tiada cerita dalam gurindamnya.
Bingung.
Misteri jiwa yang tak pernah ku tahu akhirnya.

JUJURLAH SAYANG~

~Jujur itu soal mahu atau tidak ~


 
 
..Dikisahkan bahawa seorang lelaki menemui Rasulullah dengan tekad untuk bersyahadah. Dia bukanlah orang yang baik-baik bahkan mencuri dan mabuk itu sudah menjadi kebiasaannya. Namun, ketika tekad sudah membulat untuk bersyahadah, tiada apa yang akan menghalangnya. Jelas! Harus mara untuk bersyahadah!

Selesai bersyahadah, berlakulah perbualan antara lelaki itu dan Rasulullah.

Lelaki                     : Aku mempunyai kebiasaan yang buruk dan sulit untuk kutinggalkan.
Rasulullah               : Mahukah engkau berjanji kepadaku untuk tidak berbohong?
Lelaki                     : Ya, mahu. Aku berjanji untuk tidak berbohong.

Kemudian, lelaki itu pun beransur pergi lalu bermonolog.

“Mudahnya permintaan Rasulullah yang mulia ini. Hanya berjanji untuk tidak berbohong.”

Setelah berlalunya masa, keinginannya untuk mencuri kembali memuncak. Tatkala mahu mencuri, tiba-tiba dia teringatkan janjinya kepda Rasulullah. “Jika aku mencuri dan Rasulullah bertanya kepadaku, apa yang akan ku jawab? Jika jawapanku ‘ya aku telah mencuri’ bererti aku akan dihukum. Jika ku jawab ‘tidak’, itu bererti aku telah berbohong. Padahal aku telah berjanji dengannya untuk tidak berbohong. Maka, seharusnya aku meninggalkan niatku untuk mencuri.” Monolog itu berjaya menghalangnya daripada meneruskan niat buruknya tadi.
 
               
Ketika mana kemahuannya tinggi, maka seseorang itu akan bekerja keras untuk mencapai nilai kejujuran. Meski pada kondisi yang berat. Namun, ketika ia melemah, maka berlakulah tarik tali untuk merealisasikannya. Pada suatu saat dia akan berlaku jujur namun dalam kesempatan yang lain tidak. Justeru, untuk jujur ianya satu pilihan. Mahu atau tidak. Kemahuan yang tinggi akan menenggelamkan soal mampu atau tidak.

~RENUNGKAN SAHABAT~

KESELARIAN  UCAPAN + ISI HATI + TINDAKAN --> JUJUR

 
Sahabat yang dikasihi Allah s.w.t,
Tatkala ini, berhentilah sejenak. Pusatkan fikiran kepada makna kejujuran. Renunglah ke dasar hati, lalu bertanyalah padanya. Jujurkah aku? 

Dalam meniti persoalan itu, ianya memerlukan satu syarat. JUJUR itu sendiri!

Mana mungkin hati yang tidak jujur mampu menjengah ketelusan hati. Dalihnya ada saja. Itu dan ini. Kepentingan-kepentingan peribadinya terus dilaungkannya sehingga membenamkan nilai kejujuran. Tidak sekali-kali.

JUJUR, itu soal mahu atau tidak!

Meniti kehidupan seharian, kita takkan boleh terlepas daripada nilai kejujuran. Masing-masing dari kita memegang amanah yang mungkin berbeza. Namun, setiap amanah itu menuntut satu hal yang sama dari kita, JUJUR. 

Hasan Al-Banna pernah menegaskan bahawa hendaklah kita jujur dalam menunaikan segala janji dan kata-kata. Janganlah melanggarnya walau dalam apa jua keadaan.

 Daripada Ibnu Mas’ud daripada Nabi Saw bersabda :

Tidak berganjak kaki anak Adam berdiri di hadapan Allah pada hari Qimat sehinggalah dia ditanya tentang lima perkara iaitu umurnya bagaimana ia dihabiskan, waktu mudanya bagaimana digunakan, hartanya bagaimana diperolehi dan bagaimana pula harta itu dibelanjakan dan ilmunya apakah ia telah amalkan ?

Ketika di hadapkan di mahkamah akhirat, tiada lagi kata dusta yang akan kedengaran. Dusta akan terbenam dan tertegaklah yang benar. Pendengaran, penglihatan bahkan hati akan di minta pertanggungjawaban. Mampukah bernista? Sahabat, itulah hari yang dipenuhi dengan KEJUJURAN.

Jujur itu suatu kemestian.

Sedarkah kita Allah mengkhabarkan bahawa kejujuran mampu menyelamatkan seseorang daripada azab?
Allah berfirman,

“Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka.”
(QS. al-Maidah: 119)
 

Untuk jiwa-jiwa yang merindui dan mencintai kejujuran,
Mari mengambil semangat dan tekad yang kuat daripada Anas Bin Nadhar. Kejujuran niat, tekad dan tindakannya telah menghantarnya kembali kepada Allah dalam keadaan syahid.  Mari belajar daripada kisah lelaki yang menemui Rasulullah untuk bersyahadah dan berusaha untuk berlaku jujur. Meski dirinya masih bergelumang dengan kemaksiatan.  Mampukah meninggalkannya? Sahabat…soalnya bukan mampu atau tidak tapi mahu atau tidak!

Justeru untuk jujur, tiada lagi kata tunda, tiada lagi kata dalih..Ini kerana sudah jelas ia dicipta atas dasar mahu bukannya mampu
 
WALLAHUALAM~

AYUH BELAJAR ERTI JUJUR YANG SEBENAR ~



"Sesungguhnya, kejujuran itu membawa kepada kebaikan. Sesungguhnya, kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang tidaklah sentiasa jujur melainkan akhirnya Allah s.w.t. menulisnya (menggelarnya) sebagai orang yang siddiq…"
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


JUJUR didefinisikan oleh para Ulama’ bahasa sebagai selarasnya ucapan dengan isi hati dan tindakan, yang mana jika hilang salah satu syarat tersebut maka pincanglah kejujuran itu. Justeru bagi seorang MUKMIN, sifat kejujuran seharusnya menyatu dan menjadi darah daging dalam dirinya. Tidak boleh tidak.


Kata lawan bagi jujur adalah DUSTA dan sudah tentu sifat ini tidak seharusnya dimiliki oleh seorang MUKMIN. Rasulullah s.a.w. mencela sifat ini seperti mana dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Malik. Suatu hari, seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu bertanya; "Adakah seseorang mukmin itu pendusta?". Rasulullah menjawab; "Tidak. Orang mukmin itu tidak berdusta". Tegas Rasulullah menyatakannya. Maka, dapatlah difahami bahawa jujur adalah sifat asasi yang seharusnya dimiliki oleh setiap mukmin. Bahkan kita sudah maklum bahawa dusta merupakan antara sifat seorang Munafik. 


“Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (HR. Bukhari)


Imam Ibnul Qayyim pernah berkata, 


Iman asasnya adalah kejujuran (kebenaran) dan nifaq asasnya adalah kedustaan”. Rasulullah juga pernah bersabda,  “Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu, sesungguhnya kejujuran, (mendatangkan) ketenangan dan kebohongan (mendatangkan) keraguan.”
 



Bentuk Kejujuran


1. Jujur dalam niat dan kehendak.


Ini kembali kepada soal keikhlasan. Kita pastinya sudah arif pada teorinya, dalam beramal, ikhlasnya semata-semata kerana Allah. Tidak boleh dicampuradukkan dengan kepentingan-kepentingan dunia yang lain. Ingatkah lagi kita kepada kisah 3 orang yang di hadapkan kepada Allah? Si dermawan, mujahid dan ‘alim.  Ketika di tanya tentang niat mereka di sebalik kebaikan-kebaikan itu, ternyata berbau kepentingan duniawi. Malah berdusta dengan mengatakan kerana Allah semata-mata. Di giringlah semuanya ke dalam neraka. Rosak kerana ketidakjujuran dan niat yang menyimpang daripada Allah. Sahabat, ianya hanya kerana niat yang jelek meski amal-amal begitu indah. Hanya kerana niat!


2. Jujur dalam ucapan.


Sudah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk hanya berkata yang benar. Tidak sekali berdusta. Apatah lagi yang Mukmin. Ingat hadis tadi? Sifat asasi bagi Mukmin adalah jujur dan harus sunyi daripada sifat dusta.


“Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.” 
(Riwayat Ahmad)


Dasar istiqamah adalah tergantung kepada hati, yakni hatinya lurus dan jujur pada kalimah tauhid ‘La Ilaha Illa Alah’. Menariknya, hadis ini menggandingkan elemen hati dan lidah dalam rangka menjaga keistiqamahan iman. Kenapa lidah? Ini kerana lidah adalah terjemahan kata hati dan pemikiran seseorang. Kejujuran yang paling mudah dan jelas untuk dilihat. Justeru, berhati-hatilah pada lidah.  Betapa mudahnya orang melabel kita sebagai orang jujur atau pendusta dengan hanya melihat kepada tutur kata kita. Sedarkah kita?


Lihat pula firman Allah yang ini,


Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
 (As-Saff: 2-3)


Ternyata, kata-kata yang tidak selari dengan perbuatan mengundang celaan daripada Allah. Pastinya, ayat ini menjadi teguran yang tegas dan keras kepada kita.


3. Jujur dalam tekad dan memenuhi janji.


“Wahai Sa’ad, demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sungguh aku telah mencium aroma syurga dari arah Uhud.” Kemudian Anas Bin Nadhar mengacungkan pedangnya dan menyerbu kaum kafir sambil bertekad tidak akan berhenti berperang sebelum syahid. Dengan izinNya, dia syahid di medan Uhud. Terdapat lebih 80 luka ditubuhnya dan telah dicincang oleh Musyrikin. Tiada yang mengenalinya melainkan saudara pere€mpuannya, itupun dengan adanya tanda di hujung jarinya.


Dalam sebuah riwayat, firman Allah turun berkenaan dengannya.


“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya).”
 (QS. al-Ahzab: 23)


Kisah ini, mengajarkan kita tentang erti jujur dalam tekad dan memenuhi janji. Tekad tidak sekadar tekad, dan janji tidak sekadar janji. Namun harus dibuktikan kejujurannya. Bergerak dan melaksanakan apa yang telah kita tekadkan.


4. Jujur dalam perbuatan


Ini pula merujuk kepada keselarian antara yang zahir dan batin, tiada bertentangan antara amal zahir dan amal batin. Mutharrif pernah mengatakan, “Jika sama antara batin seorang hamba dengan lahiriahnya, maka Allah akan berfirman, ‘Inilah hambaku yang benar/jujur.’”


Ketika mana hati itu hidup dengan zikrullah pantaskah kiranya terzahir amal yang buruk. Misalan, seorang yang hafiz/ah berdusta. Atau, seorang yang tekun mendirikan solat namun di hatinya tersimpan dendam kesumat yang menebal. Suatu amalan zahir yang baik tidak mampu mengalirkan kebaikan yang baik pada yang amalan batin dan sebaliknya. Pastinya di situ ada kepincangan yang mendasar. Maka, hati itulah yang dipersoalkan. Kerana di situlah sumber ledakan sebuah kejujuran hasil daripada keimanan yang benar...

Sejauh mana ukhuwah kita?


Sahabat..saling melengkapi dan menguatkan


“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
 [Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih]


Suatu ketika, Rasulullah s.a.w. berkata di hadapan para sahabatnya yang dikasihinya: 

"Sesungguhnya, di kalangan hamba-hamba Alah ada beberapa orang yang bukan para nabi dan bukan syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lantas, para sahabat bertanya:

"Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepada kami, siapakah mereka itu?"

Rasulullah menjawab:

"Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah bukan kerana hubungan kerabat di antara mereka. Juga bukan kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah, wajah-wajah mereka adalah (seperti) cahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut tatkala manusia ketakutan dan tidak bersedih hati tatkala manusia bersedih hati."

Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat:

"Ingatlah, sesungguhnya, wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yunus:62)" [Hadis riwayat Ahmad]

Beruntunglah orang-orang yang berukhuwah. Mereka yang saling mencintai kerana Allah dan semestinya bukan kerana kepentingan-kepentingan berbentuk duniawi. 

"orang yang bukan para nabi dan bukan syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lihat, Allah memberikan mereka kedudukan istimewa di sisiNya. Segolongan manusia yang dicemburui para nabi dan syuhada. Beruntunglah mereka...

Pasti kita pernah menerima pesanan ringkas dari sahabat kita (sama jantina) untuk meluahkan cinta dan kasihnya.."aku mencintaimu kerana Allah", "ukhuwah fillah abadan abada", "uhibbukifillah" dan seumpanya. 

Berbicara tentang ukhuwah, ternyata tidaklah semudah apa yang dilafazkan. 

Suatu malam, bertanya kepada seorang sahabat. 
"Akak, kenapa bila dengan akhawat hati terasa lebih sensitif.? Tidak seperti kawan-kawan biasa yang kita banyak berlapang dada dengan mereka." Jawapan ringkas diberikan kepada saya. "Kerana kita mempunyai expectation terhadap akhawat. Sedangkan, mereka juga manusia biasa".

Terasa terpukul dengan jawapan yang diberi. Logiknya benar-benar ada.

Ya, kerana namanya akhawat. Dan akhawat tidaklah sekadar panggilan atau gelaran. Tapi, si pembawa nama akhawat itu juga membawa bersama sikap-sikap dan akhlak-akhlak yang asas bagi seseorang yang bergelar akhawat. Ayat mudahnya, "akhawat sepatutnya ini dan itu.." Maka tidak hairanlah, apabila sebaliknya berlaku yang mana seorang akahawat itu bersikap di luar daripada expectation yang sepatutnya, hati menjadi sensitif. Terlupa bahawa yang namanya akhawat itu,  juga seorang manusia biasa dan bukannya malaikat. Yang pastinya tidak terlepas melakukan kesalahan. 

Kadang-kala, mudahnya kita menghukum akhawat sendiri. Ataukah ia kerap berlaku?

Indikator "akhawat sepatutnya ini dan itu" juga ada baiknya. Sepertimana kita sebagai seorang Muslim, yang namanya seorang Muslim pasti sepatutnya ada bersamanya akhlak-akhlak asas seorang Muslim. Muslim tidak seharusnya pada nama saja, namun Islam harus terpancar juga melalui peribadinya. Jika ada yang tersasar, itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak 'kena'.

Nah, begitu jugalah dengan akhawat. Benarkah sudah tertarbiyyah? 10 muwassofat menjadi ukurannya. Namun, jika ada yang tidak terpenuhi jangan cepat menghukum. Tanyalah diri sendiri dahulu, "berikan 70 sebab kenapa harus aku katakan dia sedemikian rupa"

Tahap minimum ukhuwah iaitu berlapang dada, adakalanya terasa berat juga untuk mengekalkannya. Apatah lagi tahap tertinggi, itsar iaitu melebihkan sahabat lain ke atas diri kita. Ukhuwah itu  buah keimanan. Tatkala itu, refleksikanlah ia dengan kondisi iman kita. Makin rendah tahap ukhuwah maka tahap rendah itu jugalah ukuran iman.  

Dalam berukhuwah, hal-hal remeh pun boleh menjadi sesuatu yang akan membuat hati cepat terasa. Seorang ukhti, balik ke rumah sewa dengan keletihan dan lapar. Penuh mengharap agar makanan ada diasingkan untuknya. SMS siap dihantar sebagai peringatan. Setelah sampai, kecewanya hati apabila tiada apa yang tinggal. "takkan tak tinggalkan sedikit pun. Kan dah bagitau tadi. Aku pun ahli rumah ni juga" bisik hati yang menahan geram daripada dilontarkan. Atau, ukhti A menyapa ukhti B dan bertanyakan khabar. Ukhti C yang di sebelah B tidak pula disapanya apatah lagi bertanyakan khabarnya. Terasalah pula si ukhti C...

Sekali lagi, berbicara tentang ukhuwah, ternyata tidaklah semudah apa yang dilafazkan.
Sensitiviti seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain seringkali menduga. Meskipun pada hal-hal yang kita anggap remeh.

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
 [Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih]

Rasulullah juga mengajar kita erti sensitiviti. Tatkala satu anggota sakit, terasakah anggota yang lain?

Pada saat ini, di mana sahabat-sahabat kita? Apa khabarnya? Pedulikah kita dengannya?

Pernah satu penyataan saya dengari. "Ukhuwah itu hanya ada ketika adanya amal dakwah yang menuntut. Bila ada, semua sibuk mencari sahabat itu. Tatkala tiada, maka semua senyap saja dan tiada di sampingnya"
Saya yang masih belajar untuk berukhuwah, tercabar juga mendengarnya. Tercabar dalam erti kata menghadkan pengertian ukhuwah sebatas amal-amal dakwah saja dan bersua muka dengan sahabat yang lain. 

Agar berlapang dada itu ada, dan agar tidak cepat menghukum, cuba untuk memahami kondisi sahabat itu dan hakikat yang berlaku.

Mungkin, dalam hatinya menuntut sebuah perhatian dari sahabatnya. Kepedulian terhadapnya. Dan dia merasakan, akhawatlah sebaik-baik teman. Di kala itu, jiwanya sunyi lantas menagih peduli dari akhawat. Merajuknya pada akhawat barangkali.

Sahabat yang tidak sentiasa ada bersama, bukan bermaksud tidak berukhuwah. Mungkin kerana tompokan kerja dan tugasan-tugasan yang menghambatnya untuk tidak kerap bertemu. Tautan ukhuwah tidak terletak semata-mata pada kerapnya bertemu, tetapi tautan hati itulah yang menjadi pengikat antara kedua-duanya. Tapi tidaklah mengatakan bahawa pertemuan-pertemuan itu tidak penting. Ada juga kepedulian meskipun sedikit.

Sahabat yang mencari-cari kita di kala diperlukan dan senyap saja ketika tidak diperlukan, bukanlah bermaksud dia tidak berukhuwah.  Tatkala dia memerlukanmu untuk suatu amal dakwah bererti potensimu diperlukan dalam dakwah. Tatkala tidak dicari, janganlah pula mudah terasa sehingga pesimis terhadap sahabat-sahabat yang lain. Fikiran sentiasa terbuka untuk segera membuat konklusi dan menghukum. Namun, fikiran juga sentiasa terbuka untuk diperbetulkan mind setting dari semasa ke semasa. Berikanlah 70 alasan dahulu sebelum memberi konklusi akan sesuatu. 

Namun, dalam kedua-dua hal ini, tidaklah menuntut kejernihan fikiran dan tindakan daripada satu belah pihak saja. Kedua-duanya juga perlu. Jika sibuk, carilah masa-masa untuk bertemu juga dan tidak menghilangkan diri begitu saja. Jika tiada hajat atau keperluan ke atasnya, sesekali bertanyalah khabarnya dan kebajikannya. Sekurang-kurangnya, itu dapat mengembirakan hatinya.

Dalam berukhuwah, banyak hal yang akan diuji. Kelemahan demi kelemahan sahabat akan kita ketahui. Bahkan betapa kerapnya berlaku, sesuatu yang kita tidak suka ada pada sahabat-sahabat kita itu..Jangan melarikan diri namun hadapilah. Ketegaran hati dan emosi pasti akan terbina dan kita pun akan semakin mudah menerima kelemahan orang lain. Kita juga mempunyai kelemahan bukan? Jika sahabat mengalami situasi yang sama, sudah pasti dia juga teruji. Adilkah untuk cepat menghukum dan beremosi dengannya?

Jelas, berukhuwah tidak sekadar berta'aruf. Tapi perlu melalui dua lagi proses iaitu tafahum dan takaful. Saling memahami dan saling memikul beban. Tafahum tidak akan berjalan dengan baik jika tiadanya ta'aruf dan takaful juga tidak akan berjalan baik jika tiadanya tafahum.

Kenapa mudah terasa dengan sahabat yang kita rapat berbanding sahabat-sahabat yang kurang rapat? Kerana, kita sudah berta'aruf dengannya dan mengetahui banyak hal tentangnya. Sedangkan yang satu lagi kita berta'aruf dengannya namun masih kurang mengenalinya, sikap dan peribadinya..

Walau apapun yang berlaku ke atas mereka, meski di manapun mereka berada kini dan tidak bersama, tetaplah menjaga nama baik sahabat-sahabat kita. Tetaplah mendoakan kesejahteraan mereka.

“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”. 
[Hadis riwayat Tirmidzi]

“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”. 
[Hadis riwayat Muslim]


Tidak jarang, kita sering mengharap agar sahabat kita begini dan begitu..
Tidak jarang juga, kita mengharap agar sahabat tidak berbuat sesuatu yang di luar daripada expectation kita. Begini dan begitu kerap ditagih agar mereka memberi kepada kita...

"alangkah sulitnya mencari sahabat sejati, " 
kata seorang teman "tak kutemukan walau telah kujelajahi bumi, negeri demi negeri"
 aku tersenyum menepuk pundaknya, "mungkin itu sebab yang kau cari adalah sahabat untuk memberi, adapun sahabat untuk diberi bertebaran di seluruh penjuru bumi"
[Salim A.Fillah- Dalam Dekapan Ukhuwah