بسم الله الرحمن الرحيم


بسم الله الرحمن الرحيم
"DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG"

Thursday 19 December 2013

AYUH BELAJAR ERTI JUJUR YANG SEBENAR ~



"Sesungguhnya, kejujuran itu membawa kepada kebaikan. Sesungguhnya, kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang tidaklah sentiasa jujur melainkan akhirnya Allah s.w.t. menulisnya (menggelarnya) sebagai orang yang siddiq…"
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


JUJUR didefinisikan oleh para Ulama’ bahasa sebagai selarasnya ucapan dengan isi hati dan tindakan, yang mana jika hilang salah satu syarat tersebut maka pincanglah kejujuran itu. Justeru bagi seorang MUKMIN, sifat kejujuran seharusnya menyatu dan menjadi darah daging dalam dirinya. Tidak boleh tidak.


Kata lawan bagi jujur adalah DUSTA dan sudah tentu sifat ini tidak seharusnya dimiliki oleh seorang MUKMIN. Rasulullah s.a.w. mencela sifat ini seperti mana dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Malik. Suatu hari, seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu bertanya; "Adakah seseorang mukmin itu pendusta?". Rasulullah menjawab; "Tidak. Orang mukmin itu tidak berdusta". Tegas Rasulullah menyatakannya. Maka, dapatlah difahami bahawa jujur adalah sifat asasi yang seharusnya dimiliki oleh setiap mukmin. Bahkan kita sudah maklum bahawa dusta merupakan antara sifat seorang Munafik. 


“Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (HR. Bukhari)


Imam Ibnul Qayyim pernah berkata, 


Iman asasnya adalah kejujuran (kebenaran) dan nifaq asasnya adalah kedustaan”. Rasulullah juga pernah bersabda,  “Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu, sesungguhnya kejujuran, (mendatangkan) ketenangan dan kebohongan (mendatangkan) keraguan.”
 



Bentuk Kejujuran


1. Jujur dalam niat dan kehendak.


Ini kembali kepada soal keikhlasan. Kita pastinya sudah arif pada teorinya, dalam beramal, ikhlasnya semata-semata kerana Allah. Tidak boleh dicampuradukkan dengan kepentingan-kepentingan dunia yang lain. Ingatkah lagi kita kepada kisah 3 orang yang di hadapkan kepada Allah? Si dermawan, mujahid dan ‘alim.  Ketika di tanya tentang niat mereka di sebalik kebaikan-kebaikan itu, ternyata berbau kepentingan duniawi. Malah berdusta dengan mengatakan kerana Allah semata-mata. Di giringlah semuanya ke dalam neraka. Rosak kerana ketidakjujuran dan niat yang menyimpang daripada Allah. Sahabat, ianya hanya kerana niat yang jelek meski amal-amal begitu indah. Hanya kerana niat!


2. Jujur dalam ucapan.


Sudah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk hanya berkata yang benar. Tidak sekali berdusta. Apatah lagi yang Mukmin. Ingat hadis tadi? Sifat asasi bagi Mukmin adalah jujur dan harus sunyi daripada sifat dusta.


“Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.” 
(Riwayat Ahmad)


Dasar istiqamah adalah tergantung kepada hati, yakni hatinya lurus dan jujur pada kalimah tauhid ‘La Ilaha Illa Alah’. Menariknya, hadis ini menggandingkan elemen hati dan lidah dalam rangka menjaga keistiqamahan iman. Kenapa lidah? Ini kerana lidah adalah terjemahan kata hati dan pemikiran seseorang. Kejujuran yang paling mudah dan jelas untuk dilihat. Justeru, berhati-hatilah pada lidah.  Betapa mudahnya orang melabel kita sebagai orang jujur atau pendusta dengan hanya melihat kepada tutur kata kita. Sedarkah kita?


Lihat pula firman Allah yang ini,


Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
 (As-Saff: 2-3)


Ternyata, kata-kata yang tidak selari dengan perbuatan mengundang celaan daripada Allah. Pastinya, ayat ini menjadi teguran yang tegas dan keras kepada kita.


3. Jujur dalam tekad dan memenuhi janji.


“Wahai Sa’ad, demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sungguh aku telah mencium aroma syurga dari arah Uhud.” Kemudian Anas Bin Nadhar mengacungkan pedangnya dan menyerbu kaum kafir sambil bertekad tidak akan berhenti berperang sebelum syahid. Dengan izinNya, dia syahid di medan Uhud. Terdapat lebih 80 luka ditubuhnya dan telah dicincang oleh Musyrikin. Tiada yang mengenalinya melainkan saudara pere€mpuannya, itupun dengan adanya tanda di hujung jarinya.


Dalam sebuah riwayat, firman Allah turun berkenaan dengannya.


“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya).”
 (QS. al-Ahzab: 23)


Kisah ini, mengajarkan kita tentang erti jujur dalam tekad dan memenuhi janji. Tekad tidak sekadar tekad, dan janji tidak sekadar janji. Namun harus dibuktikan kejujurannya. Bergerak dan melaksanakan apa yang telah kita tekadkan.


4. Jujur dalam perbuatan


Ini pula merujuk kepada keselarian antara yang zahir dan batin, tiada bertentangan antara amal zahir dan amal batin. Mutharrif pernah mengatakan, “Jika sama antara batin seorang hamba dengan lahiriahnya, maka Allah akan berfirman, ‘Inilah hambaku yang benar/jujur.’”


Ketika mana hati itu hidup dengan zikrullah pantaskah kiranya terzahir amal yang buruk. Misalan, seorang yang hafiz/ah berdusta. Atau, seorang yang tekun mendirikan solat namun di hatinya tersimpan dendam kesumat yang menebal. Suatu amalan zahir yang baik tidak mampu mengalirkan kebaikan yang baik pada yang amalan batin dan sebaliknya. Pastinya di situ ada kepincangan yang mendasar. Maka, hati itulah yang dipersoalkan. Kerana di situlah sumber ledakan sebuah kejujuran hasil daripada keimanan yang benar...

No comments:

Post a Comment